Tuesday, 23 August 2011
Kuih Serabai ......
Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Sempena bulan ramadahan yang mulia ini , golongan wanita terutamanya ibu-ibu memainkan peranan penting dalam menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga masing-masing . Tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang lebih gemar membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar ramadhan berbanding menyediakannnya sendiri. Kebiasaannya , di bulan puasa ini macam-macam makanan yang terbayang dalam benak fikiran kita . Lepas itu mulalah mengidam nk makan . Saya sendiri pun tidak terkecuali . Tiba-tiba sahaja rasa teringin nak makan kuih SERABAI. Ya, kuih SERABAI . Kuih pun ada yang serabai bukan orang sahaja. Teringat masa kecil dahulu sekiranya pulang ke kampung , kuih serabai hasil air tangan mak long sudah pasti menjadi pengalas perut diwaktu pagi .Kuih ini suatu ketika dahulu amat terkenal di negeri-negeri utara tanah air dan juga sekitar selatan tanah air .Kini , kuih ini semakin dilupakan . Memang susah nak jumpa sekarang ini . Mungkin disebabkan ianya mengambil masa yang lama untuk dimasak lantas menyebabkan masyarakat lebih gemar mencari alternatif lain . Menurut abah saya , kuih ini suatu ketika dahulu pernah menjadi hidangan wajib di majlis-majlis kematian terutamanya di negeri Pulau Pinang .Dengarnya agak pelik namun itulah hakikatnya . Apa-apa pun kuih ini masih lagi mendapat tempat dihati saya meskipun sudah sekian lama tidak menjamahnya . Cuma baru-baru ini sahaja mak saya cuba membuat kuih ini . Cubaan pertama kurang menjadi dan Alhamdulillah cubaan kedua beliau berjaya . Memang lazat .Kuih ini enak dimakan bersama-sama kuah durian. Kuih ini juga menjadi pilihan keluarga kami bagi hidangan moreh selepas tarawikh pada malam ke 21 yang lalu. Rata-rata ramai yang tidak pernah memakan kuih ini terutamanya mereka yang berasal dari pantai timur . Oleh yang demikian , saya akan sertakan bersama resepi membuat kuih serabai yang saya perolehi dari blog www.hanan.com.my . Selamat mencuba.......
Resepi Kuih Serabai
Bahan-bahannya
200 gram tepung gandum
1 sudu teh baking powder
300 ml santan dari ¼ butir kelapa
1 butir telur
¼ sudu teh garam
minyak sayuran secukupnya
Cara-cara membuat serabai :
Ayak tepung gandum dan baking powder. Pukul telur dan garam sehingga berbuih. Kemudian tuangkan santan kedalam tepung dan gaul rata. Tuangkan pula telur yang telah dipukul kedalam adunan tepung sedikit demi sedikit dan kacau rata. Perap untuk 1 – 2 jam. Panaskan kuali dan disapu dengan sedikit minyak. Senduk 3-4 sudu makan adunan tepung. Tunggu sehingga
nampak lubang-lubang udara muncil pada kuih lalu ditutup kualinya dan tunggu sehingga masak. Sedap disajikan dengan serawa durian.
Serawa Durian
Bahan-Bahannya
1 biji kelapa, ambil santannya
2 keping gula melaka
Sedikit Gula Pasir
2 helai Daun Pandan
Air
Sebiji durian
Cara-caranya:
Masak santan bersama gula melaka dan daun pandan. Kemudian masukkan isi durian, gula pasir dan kacau sehingga masak. Boleh dihidangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment